Tuesday, August 5, 2008

Saintis NASA kesan perchlorate di planet Marikh

KAJIAN: Kapal peninjau Phoenix Mars menggunakan pencedok robot untuk mengambil sampel tanah di Marikh






LOS ANGELES: Saintis Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) yang melakukan penyelidikan menerusi kapal peninjau Phoenix Mars di Marikh, mendakwa mengesan perchlorate di permukaan planet berkenaan, iaitu bahan toksik yang terkandung dalam bahan api roket. NASA menolak kemungkinan toksik itu adalah pencemaran daripada kapal angkasanya dan berkata ujian lanjut perlu dilakukan bagi memastikan sama ada tanah Marikh mempunyai kandungan bahan berkenaan. Perchlorate diketahui merbahaya kepada manusia di bawah persekitaran tertentu dan kewujudannya di tanah Marikh mungkin menandakan yang planet itu tidak sesuai untuk hidupan dan bercanggah dengan kepercayaan saintis selama ini.



Penemuan itu berlaku kurang seminggu selepas NASA mendakwa ia mempunyai bukti kukuh kewujudan air di Marikh, termasuk menyentuh dan merasainya selepas melakukan ujian susulan ke atas penemuan ais di planet berkenaan, Jun lalu. Penemuan itu dianggap bersejarah kerana ahli astronomi sejak 100 tahun lalu sudah pun mendakwa kemungkinan wujudnya air di Marikh yang turut dikenali Planet Merah. – Reuters