Thursday, May 21, 2009

Lagenda Inca

FIKIRAN anda mungkin berserabut memikirkan cara terbaik untuk melancong ke Peru, negara ketiga terbesar di Amerika Selatan yang struktur geografinya diselaputi Banjaran Andes dan Lembangan Amazon. Sesetengah pelancong mungkin berasa sukar mengembara ke negara yang tersenarai antara 20 terbesar di dunia itu tetapi dengan perancangan perjalanan yang teliti, kegusaran itu pasti dapat diatasi.

Mengikut sejarah, Peru yang mempunyai keluasan lebih 1.28 juta kilometer persegi, dinamakan sempena seorang pemimpin bernama Biru yang tinggal di Teluk San Miguel, Panama pada awal kurun ke-19. Ketika penjelajah Sepanyol, Francisco Pizarro menemui tanah itu pada 1522, ia kemudian dinamakan secara rasmi sebagai Peru oleh Raja Sepanyol selepas peristiwa Penyerahan Toledo. Peru menjadi tempat pertembungan kepelbagaian bangsa dan budaya dengan penduduk aslinya disertai orang Sepanyol lebih 500 tahun lalu, disusuli kedatangan penghijrah dari Afrika, Asia dan Eropah.

Walaupun bahasa Sepanyol dituturkan secara umum, Peru mempunyai pelbagai bahasa lain seperti Quecha, tinggalan daripada Empayar Inca dan masih digunakan bersama dialek daerah di sebahagian besar negara itu. Lima, ibu negara dan satu-satunya pusat keluar masuk antarabangsa ke Peru melalui jalan udara, adalah destinasi wajib dikunjungi jika anda berpeluang ke negara yang amat kaya dengan seni budaya dan warisan itu. Sesuai dengan statusnya sebagai bandar raya terbesar, Lima adalah pusat pentadbiran kerajaan, kebudayaan, komersial dan ekonomi bagi negara itu. Ia terletak di lembah Sungai Chillón, Rimac dan Lurin, di pesisir pantai yang menghadap Teluk Lima dan Lautan Pasifik iaitu tempat di mana pelabuhan bandar raya itu dibina dan diberi nama Callao.

Lima diasaskan oleh Pizarro pada 18 Januari 1535 sebagai Bandar Raja-Raja, bandar terpenting dalam Pentadbiran Sepanyol Peru. Ketika itu, peranannya adalah sebagai pusat pentadbiran kepada kebanyakan tanah jajahan Sepanyol di Amerika Selatan, iaitu antara pertengahan 1500-an sehingga awal 1800-an. Lebih daripada tiga abad, Lima ialah metropolis terbesar di Amerika Selatan dan sekarang lebih satu pertiga daripada populasi Peru yang berjumlah keseluruhan kira-kira 30 juta tinggal di bandar raya berkenaan. Untuk menjelajah bandar raya ini, sekurang-kurangnya dua hari diperlukan bagi melawat pelbagai tarikan, terutama muzium, restoran, pusat jualan kraf, hasil seni serta deretan bangunan klasik dari zaman kolonial. Tarikan lain di bandar ini ialah Pusat Sejarahnya yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Lokasi itu menempatkan tinggalan sejarah yang hebat, antaranya gereja besar, dataran utama, Istana Presiden dan Gereja San Francisco bersama biaranya, muzium kesenian dan agama serta tanah perkuburan bawah tanah. Menjelang senja atau malam, singgahlah di San Isidro dan Miraflores untuk menikmati pemandangan menarik Lautan Pasifik. Apabila berbicara mengenai Peru, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah kekayaan negara itu dengan seni dan budaya berusia ribuan tahun serta legenda Empayar Incanya. Jika gemarkan keindahan alam semula jadi, Parque de Las Layendas harus disenaraikan sebagai destinasi lawatan selain mengunjungi Zoo Huachipa dan Pantanos de Villa. Anda pasti kagum menyaksikan tinggalan arkeologi dari zaman pra-Inca dan tamadun Inca, selain tinggalan silam lain yang dipamerkan di Muzium Negara, Muzium Arkeologi, Antropologi dan Sejarah serta Muzium Larco Herrera. Jika berkesempatan, kunjungi juga lembah Callejon de Huayles yang terletak kira-kira 400 kilometer di tenggara Lima - di tengah banjaran Cordillera Blanca dan Cordillera Negra - yang terkenal kerana puncaknya yang bersalji serta tertinggi di Andes. Kembara di sepanjang selatan Peru pula membawa anda ke rangkaian destinasi Chincha-Paracas-Ica-Nazca yang menawarkan keindahan lautan, pantai, sejarah dan tradisi bersama landskap amat menarik. Chincha terkenal dengan kebudayaan Afro-Peru, Paracas dengan keindahan teluk dan biodiversitinya serta menjadi habitat pelbagai jenis burung termasuk penguin, manakala Ica pula menampilkan keindahan Tasik Huacachina. Antara tarikan utama di Peru ialah Machu Picchu, kawasan arkeologi yang ditemui pada awal 1900-an dan diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 1983, menempatkan keunikan arkeologi tinggalan penduduk asal Peru. Tarikan lain ialah di Puno yang mana pelancong berpeluang menaiki bot mengelilingi Tasik Titicaca untuk menikmati panorama alam semula jadi, flora dan fauna serta lebih istimewa melihat penduduk aslinya bersama kehidupan tradisi mereka. Banyak lagi tempat serta produk pelancongan menarik menunggu di Peru seperti di Lembah Chanchamayo yang terkenal dengan keindahan bunga-bungaan dan air terjunnya, tinggalan kolonial di Concepcion serta Taman Negara Manu. Kunjungan tidak akan lengkap jika tidak melawat Iquiotos kerana daerah yang terletak di tengah Lembangan Amazon itu adalah pintu utama di Peru untuk menyusuri Sungai Amazon, sungai terbesar di dunia.

Pusat Sejarah Lima diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu

Kota purba Machu Picchu menempatkan arkeologi amat berharga.


INFO: Peru

  • Berkeluasan 1.285 juta km persegi
  • Negara ketiga terbesar di Amerika Selatan selepas Brazil dan Argentina
  • Mengamalkan pemerintahan demokrasi
  • Antara 20 negara terbesar di dunia
  • Populasi kira-kira 30 juta penduduk
  • Antara jalan masuk ke Lembangan Amazon melalui Iquitos
  • Bahasa utama, Sepanyol
  • Agama utama, Roman Katolik
  • Kaya dengan budaya, struktur tinggalan kolonial serta keindahan alam semulajadi
  • Tarikan pelancongan utama ialah kota purba Macchu Picchu dan Empayar Inca.