Tuesday, October 11, 2011

Misteri Machu Picchu




DIPERKENALKAN kepada dunia 100 tahun lalu, Kota Inca atau Machu Picchu di puncak Andes kekal jadi perhatian, juga terus mengundang seribu persoalan bagaimana ia mampu dibina manusia purba tanpa teknologi canggih seperti hari ini. Wartawan Berita Minggu, HALINA MOHD NOOR berkongsi pengalamannya ke lokasi silam terkenal ini. MENJEJAK kaki di 'Kota Inca yang hilang' atau Machu Picchu menimbulkan seribu tanda tanya kepada penulis, mungkin juga kepada ribuan pengunjung lain dari seluruh pelusuk dunia.
Menatap sendiri salah satu lokasi yang baru dinobatkan keajaiban dunia menerusi undian di internet pada 2007, melihat deretan bangunan lama dibina daripada bungkah batu gunung yang diukir dan dipahat serta dikelilingi teres bertingkat itu mengundang banyak persoalan mengenai kemampuan manusia dulu kala membangunkan struktur sehebat itu.
Kota ini menyimpan pelbagai rahsia sejak ia dibina pada abad ke-15 dipercayai oleh Raja Inca, Pachacuti sebagai empayarnya. Sehingga kini juga, masih banyak lagi misteri yang tersimpan dan belum berjaya dibongkar. Terletak di puncak Gunung Machu Picchu setinggi 2,430 meter dari aras laut berlatar belakangkan Banjaran Andes dan hutan Amazon, tidak dapat dibayangkan bagaimana kota silam seumpama itu mampu dibina manusia purba tanpa teknologi canggih seperti hari ini. Machu Picchu terletak kira-kira 80 kilometer dari Cusco, pekan di tenggara Peru yang boleh dikunjungi dengan menyusuri Sungai Urubamba. Pengunjung perlu menaiki kereta api Peruvian Rail dari Stesen Poroy di Cusco untuk ke pekan kecil Machu Picchu melalui lembah pergunungan dengan pemandangan sangat menarik sepanjang tiga jam perjalanan. Sebaik tiba, pengunjung terus dibawa menaiki bas mendaki lereng pergunungan selama setengah jam. Mereka yang tabah dan ingin menikmati kehijauan hutan tropika boleh memilih berjalan kaki ke puncak yang lazimnya memakan masa dua hari untuk sampai ke kota lama berkenaan.

Machu Picchu dibina dengan sentuhan klasik Inca menggunakan bungkah batu di puncak pergunungan itu yang dipahat dan digilap membentuk tiga bangunan utama dikenali sebagai Intihuatana, Kuil Matahari (Temple of The Sun) dan Bilik Tiga Tingkap (Room of the Three Windows). Ia turut menempatkan istana, lebih 200 rumah dipercayai menempatkan kenamaan Empayar Inca, penjara, pusara, lorong dan persiaran serta teres bertingkat yang dibina di cerun dipercayai untuk tujuan pertanian. Machu Picchu dikatakan terselamat daripada Sepanyol yang menjajah Peru kerana kedudukannya sukar dikesan.

Hanya penduduk tempatan tahu kewujudan kota ini sehinggalah ia dibawa ke pengetahuan antarabangsa pada 1911 oleh pakar sejarah Amerika dari Universiti Yale, Hiram Bingham yang sedang melakukan ekspedisi di kawasan berkenaan. Beliau dimaklumkan mengenai Machu Picchu oleh seorang petani yang dikenali sebagai Arteaga.

Hari ini, Machu Picchu menjadi tarikan pelancongan penting dunia dan Kerajaan Peru cuba membina semula bangunan yang kebanyakannya tinggal rangka bagi membolehkan pelancong melihat bentuknya yang sebenar. Usaha ini masih berterusan.

Sekiranya berhasrat ke Machu Picchu, pastikan anda sihat kerana pengunjung perlu berjalan jauh sambil mendaki atau menuruni ratusan anak tangga. Bawalah bekalan air minuman bagi mengelak nyah hidrat serta makanan bagi menyuntik tenaga. Masa terbaik ke sini waktu pagi di mana anda boleh menikmati kedinginan puncak gunung dan melihat kabus menyelubungi kawasan berkenaan. Sebaiknya bermalam di hotel di pekan Machu Picchu dan naik bas seawal jam 6 pagi untuk ke destinasi. Perjalanan balik dengan kereta api Vistadome turut memberikan pengalaman menarik. Selain berpeluang menikmati pemandangan indah, penumpang disajikan minuman dan makanan ringan, dihiburkan aksi maskot babi hutan mengusik penumpang yang tertidur sambil mengajak mereka menari, malah lebih unik ada juga pertunjukan fesyen oleh krew kereta api.

petikan dari: Berita Harian Online 2011