Sunday, December 21, 2008

Galian bukti ada hidupan di Marikh

Penemuan terbaru hasil kajian saintis Nasa


LONDON: Sekumpulan saintis menemui bahan galian di Marikh yang menunjukkan planet itu suatu masa dulu boleh menampung kehidupan. Bahan karbonat terbentuk dalam keadaan neutral atau air alkali ditemui kumpulan Mars Reconnaissance Orbiter dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa), lapor The Telegraph.

“Tentu sekali perkara itu amat menarik,” kata John Mustard dari Universiti Brown di Rhode Island. “Ia putih, berbentuk bebawang dan berkerak.” Karbonat berkenaan terbentuk apabila air dan karbon dioksida bercampur dengan kalsium, besi atau magnesium.
Ia larut dengan cepat dalam asid jadi penemuan ini menolak teori bahawa semua air di Marikh pada masa dulu adalah berasid. “Ia mungkin dalam keadaan sederhana, menunjukkan permulaan bagi alam sekitar di Marikh,” kata pelajar lulusan Univeristi Brown, Bethany Ehlmann, ketua kajian yang disiarkan dalam Science Journal. “Ia mengekalkan rekod mengenai jenis habitat tertentu, bersifat semula jadi kepada persekitaran air alkali.” Karbonat di bumi seperti kapur atau batu kapur kadang kala mengekalkan bahan organik, tetapi saintis mendapati tiada bukti seperti itu di Marikh.

Karbonat berusia 3.6 bilion tahun ditemui pada batuan berhampiran kawah selebar 1,490 kilometer. Karbonat sebelum ini ditemui dalam jumlah amat kecil dalam sampel tanah yang terhasil dari kapal khas untuk penyelidikan debu dan tahi bintang Marikh di bumi. Bagaimanapun, ini adalah pertama kali sekumpulan saintis menemui kawasan karbonat terbentuk. Ia bersaiz seperti padang bola dan boleh dilihat dalam imej yang dirakamkan alat dikenali sebagai Mars Reconnnaissance Orbiter. “Ia adalah persekitaran air yang berbeza dalam sejarah awal Marikh yang menunjukkan kemungkinan bermulanya kehidupan,” kata Richard Zurek dari Makmal Jet Propulsion di California. - Agensi


-dipetik dari Akhbar Berita Harian Online, 21 Disember 2008

No comments: